Search
Search
Nunez sama seperti Torres di Liverpool tetapi lebih laju

Nunez sama seperti Torres di Liverpool tetapi lebih laju

Darwin Nunez mempunyai perwatakan yang sama dengan bekas penyerang Liverpool, Fernando Torres, tetapi mungkin mempunyai lebih kelajuan, kata salah seorang bekas jurulatih pemain Uruguay berkenaan.

Perpindahan Nunez dari Benfica ke Liverpool disahkan semalam, di mana kelab Portugis itu mendedahkan bahawa mereka akan menerima £64 juta (RM339.66 juta) di samping bayaran tambahan yang boleh mencecah £21.4 juta (RM113.57 juta).

Pemain berusia 22 tahun itu turut memperoleh kempen prolifik sepanjang musim 2021-22, di mana dia menjaringkan 34 gol daripada 41 perlawanan.

Torres pula, yang mewakili Liverpool dari 2007 hingga 2011, menjaringkan 81 gol daripada 142 penampilan buat The Reds sebelum berpindah ke pasukan seteru, Chelsea.

Sewaktu zaman kemuncaknya, Torres diiktiraf sebagai antara penyerang terbaik di dunia.

Ramai mula membandingkan Nunez dengan Torres, di mana kedua-dua individu itu memiliki perawakan dan sambutan yang hampir sama dan bekas penolong pengurus Almeria, David Badia, percaya Nunez mempunyai cara permainan yang sama seperti Torres tetapi memiliki lebih kelajuan.

Badia membimbing Nunez dalam saingan divisyen dua Sepanyol musim 2019-20, di mana penyerang itu meledakkan 16 gol daripada 32 perlawanan liga buat Almeria sebelum menyertai Benfica.

Bercakap kepada Stats Perform, Badia menjelaskan mengenai perbandingan itu: “Fernando merupakan pemain Sepanyol dan sudah pasti saya akan menyokongnya tetapi saya fikir Darwin lebih laju berbandingnya.

“Apabila Darwin memiliki bola, dia seorang pemain yang amat bagus, dia boleh mengawal dan melindungi bola.

“Mungkin Fernando juga dapat melakukannya tetapi dia lebih perlahan, ia juga sesuatu yang bagus kerana anda boleh melakukan banyak perkara tetapi pada pandangan saya, Darwin boleh bermain dengan lebih laju,” katanya.

Sumber: Stadiumastro.com

PadangBola