Bekas pengurus Belanda, Marco van Basten menegaskan sesiapa yang merasakan Cristiano Ronaldo lebih baik berbanding Lionel Messi sebenarnya langsung tidak tahu mengenai bola sepak.
Penyerang PSG, Messi dan bintang Manchester United, Ronaldo sering menjadi perbandingan sejak bertahun lalu mengenai siapa terbaik di dunia ketika mereka bertembung sesama sendiri dalam karier penuh gemilang.
Kedua-dua mereka seakan mustahil dipisahkan dalam aspek jaringan, anugerah dan bantuan gol, namun Van Basten menyatakan dengan jelas pandangannya mengenai perdebatan itu.
“Cristiano ialah pemain yang hebat, tetapi bagi mereka yang mengatakan dia lebih baik daripada Messi tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak, atau mereka mengatakannya berdasarkan kepercayaan yang buruk,” kata bekas pemain berusia 57 tahun itu.
“Messi adalah satu-satunya. Mustahil untuk ditiru dan mustahil untuk diulangi. Pemain sepertinya datang setiap 50 atau 100 tahun. Ketika kecil, dia masuk ke dalam kelompok genius bola sepak.”
Ikon AC Milan dan Ajax itu yang menang tiga gelaran Ballon d’Ors sebelum bersara awal akibat kecederaan pada usia 28 tahun, menegaskan walaupun bakat besar dimiliki Messi, dia langsung tidak boleh berada dalam senarai tiga terbaik sepanjang zaman.
Bintang Argentina itu sudah menang rekod tujuh Ballon d’Or selain menjaringkan 800 gol buat kelab dan negaranya.
Bagaimanapun dia tidak tersenarai dalam tiga pemain terbaik pilihan Van Basten mahupun pemain terbaik Argentina dalam sejarah.
“Pele, (Diego) Maradona dan (Johan) Cruyff bagi saya adalah tiga pemain terhebat dalam sejarah,” kata Van Basten kepada Marca.
“Ketika kecil saya mahu menjadi seperti Cruyff. Dia kawan saya. Saya merinduinya. Pele dan Maradona juga menakjubkan.
“Messi juga pemain hebat namun Maradona sentiasa ada lebih personaliti dalam pasukan. Messi bukanlah pemain yang meletakkan dirinya di depan ketika mahu berperang.”
Messi hanya diletakkan di belakang tiga pemain teratas bersama Ronaldo, Michel Platini dan Zinedine Zidane. – AGENSI
Sumber: Bharian.com.my