Frenkie de Jong mengakui teruja apabila mengetahui bahawa Manchester United sedang berminat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi menafikan bahawa dia akan meninggalkan Barcelona.
Pasukan Catalan itu sedang berdepan masalah kewangan dan keadaan itu meningkatkan spekulasi mengenai penjualan pemain-pemainnya pada ketika United pula dilaporkan sedang berminat untuk mendapatkan pemain tengah Belanda, De jong.
De Jong merupakan sebahagian daripada pasukan Ajax yang layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2018-29 di bawah kendalian Erik ten Hag dan sumbangannya pada ketika itu membolehkannya untuk menyertai Barca pada penghujung kempen berkenaan.
Tiga tahun kemudian, pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan sedang diintai Ten Hag susulan pelantikannya sebagai pengurus di Old Trafford.
Bagaimanapun, ketika dia mengakui berasa teruja mendapat perhatian pasukan Inggeris berkenaan, De Jong tidak berniat untuk meninggalkan Barca.
“Anda sentiasa teruja apabila ada beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan anda,” katanya dalam sidang media selepas Belanda menewaskan Wales 3-2 dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL).
“Tetapi saya fikir saya sedang berada di kelab terbaik dunia pada ketika ini.
“Saya berasa amat baik di sana, jadi tiada perkembangan mengenai perkara lain,” katanya.
Sumber: Stadiumastro.com